Allah tak pernah tak sayang? Pejam mata, fikirkan sedalamnya... Bukankah kita punya mata yang mampu melihat, telinga yang boleh mendengar, mulut yang bisa mengungkap kata, kaki dan tangan yang dapat berfungsi sebaiknya? Bukankah kita miliki keluarga dan sahabat di sisi? Apakah yang membuatkan engkau masih ragu-ragu dengan kasih sayang Allah kepadamu? Lihat semula surah Al-Mulk, ayat 23 yang bermaksud :
"Dialah yang menciptakan kamu dan menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati bagi kamu. Tetapi sedikit sekali kamu bersyukur." (Surah Al-Mulk, ayat 23)
Mungkin hari ini kau jatuh. Namun, antara jatuh itu dengan kehilangan nikmat bernafas, mana yang akan engkau pilih untuk hadapi? Sudah pasti setiap manusia akan memilih untuk diberi kesempatan menikmati udara oksigen, hadiah berharga daripada Yang Maha Menghidupkan. Bukankah ini menunjukkan nikmat Allah itu jauh lebih besar mengatasi segala kepayahan? Kenapa begitu sedikit sekali kita bersyukur? Lihat juga surah Al-Waqiah, ayat 68-70 yang bermaksud :
"Pernahkah kamu memerhatikan air yang kamu minum? Kamukah yang menurunkannya dari awan ataukah Kami yang menurunkan? Sekiranya Kami mengkehendaki, nescaya Kami menjadikannya masin, mengapa kamu tidak bersyukur? " (Surah Al-Waqiah, ayat 68-70~
Sahabat, nikmat rezeki yang Allah beri kepada setiap insan itu berbeza-beza. Tidak usahlah engkau membanding-bandingkan dirimu dengan orang lain. Mungkin dia yang kau lihat, kaya harta, namun belum tentu kaya jiwa. Begitu juga sebaliknya. Mungkin juga engkau melihat seseorang itu, punya kecantikan, kesihatan, kekayaan yang memperlihatkan seperti dia punya segalanya. Tapi apakah engkau tahu, apakah musibah yang sedang melanda dirinya? Mustahil setiap insan di dunia ini tidak diuji. Mustahil...
Tapi... Mengapa aku tidak tenang? Bukankah Allah itu boleh memberi ketenangan kepada sesiapa yang dikehendaki? Kenapa Allah membiarkan aku dalam maksiat?
Ya ukhti, ya akhi... Please be smart. Fikir betul-betul... Benar, bahawasanya Allah yang memberi ketenangan, cuma kepada hambaNya yang benar-benar mahu. Mahu bermaksud kita usaha untuk dapatkannya. Kalau setakat mahu tetapi duduk diam buat tak tahu, apa guna begitu.. Memang pada hakikatnya fitrah manusia inginkan ketenangan kerana itulah kebahagiaan yang sebenar tetapi tanpa usaha, apa guna engkau menyimpan hasrat untuk memilikinya? Kalau mahu, bertindak!
Bukan bertidak-tidak. Bukan membiarkan diri terus menerus berterusan dalam maksiat. Ingatlah, bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan sesuatu kaum itu mengubah nasib diri mereka sendiri.
Sudahkah engkau berdoa bersungguh-sungguh? Dengan air mata keinsafan? Dengan jiwa yang sangat berhajat kepadaNya? Dengan rasa penuh kehambaan? Dengan penuh keazaman untuk meninggalkan maksiat? Jika belum, jangan persoalkan kenapa dirimu masih belum menemui jalan bahagia yakni ketenangan.
Ketenangan itu akan dapat oleh orang yang menjadikan Allah Number 1 di hatinya. Pencinta Pencipta. Allah is everything dalam hidupnya. Maka di sinilah namanya sebuah kebebasan buat hamba yang memilih untuk beriman, memilih untuk merasai kepayahan dunia, memilih syurga yang benar-benar ada.
Sabarlah untuk wahai orang yang beriman. Giliranmu akan tiba untuk menikmati segala yang jauh lebih indah yang tak terfikir dek akal di syurga nanti.
Sahabatku, Allah itu baik sangat. Terlalu baik. Maha Baik. Hatta iblis yang derhaka itu pun doanya dimakbulkan Allah pada saat dimana iblis meminta agar ditangguhkan dahulu seksaan terhadapnya oleh Allah.
Temanku, kadang Allah sudah memperlihatkan kebaikan betul-betul di hadapan mata kita. Allah jaga kita. Allah tegur kita dalam berbagai-bagai bentuk.
Namun, manusia suka tidak mahu mengambil peluang dengan kebaikan yang hadir di hadapan mata mereka.
Lihatlah, majlis-majlis ilmu seakan sepi dengan hanya dengan beberapa penghuni, akan tetapi konsert-konsert hiburan artis pula menjadi santapan rohani. Setakat ini yang aku lihat di sekitarku sejak jauh dari ibu dan ayah. Menyedarkan aku akan hakikat cabaran menempuh liku kehidupan, supaya aku terus melangkah ke hadapan, kerana ummah memerlukan antum wahai ukhti wahai akhi.
Tahniah buat sahabat yang memilih jalan tarbiyah, walaupun payah, walaupun getir, walaupun sukar kerana yakin dengan ganjaran daripada Allah sebagai hadiah. Subhanallah... Doakan aku juga ya sahabat wahai saudaraku..
Teman, jangan kerana satu musibah, engkau jadi lupa pada nikmat Allah. Jangan kerana satu nikmat engkau menjadi takbut dan angkuh. Jangan kerana satu pangkat dan jawatan engkau terus lupa bagaimana engkau sebelum ini. Sedangkan kasih sayang Allah lebih besar dari itu.
Namun hati manusia, tetap mahu lihat pada ujian yang sedikit. Di dalam surah Ar-Rum, ayat 36, Allah ada berfirman yang bermaksud :
"Dan apabila Kami berikan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan (rahmat) itu. Tetapi apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) kerana kesalahan mereka sendiri, seketika itu mereka berputus asa." (Surah Ar-Rum, ayat 36)
Lihatlah kasih sayang Allah kepada kita wahai sahabat. Allah tegur kita yang sering lalai melalui ayat cinta-Nya. Allah tegur kita dengan pelbagai cara dan kaedah. Kadang Allah beri kita sakit, kadang Allah beri kita susah. Kadang diberi kita kehilangan. Banyakkanlah berdoa kepada Allah temanku, bukan merungut dengan nasib yang menimpa. Ditambah lagi dengan usaha dan setelah itu bertawakallah kepada-Nya.
"Bukankah Dia (Allah) yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepada-Nya dan menghilangkan kesusahan dan menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah (pemimpin) di bumi? Apakah di samping Allah ada tuhan (yang lain)? Sedikit sekali (nikmat Allah) yang kamu ingat." (Surah An-Naml, ayat 62)
Bukalah mata hatimu seluas-luasnya ummah sekalian. Bukan buka matamu dan bukan juga poketmu. Allah ingatkan kita banyak kali melalui mesej dari surat cinta-Nya iaitu dalam kalam-Nya Al-Quran. Tapi kita yang tidak mahu membacanya sebagai panduan. Allah dah bagi tahu, tapi kita yang buat tak tahu. Allah dah bagi peringatan tapi kita yang buat tak faham.
Duhai hati, engkau persoalkan mengapa Allah tidak bantu engkau?? Tetapi, Namun tanyalah pula, adakah engkau sendiri telah membantu dirimu untuk mengejar cinta-Nya?
Engkau cuma mengharapkan Allah untuk mengubahnya tanpa engkau berusaha dan berkorban untuk meinggalkan perbuatan maksiat itu. Seharusnya lihatlah kesalahan itu pada diri kita sendiri. Allah tidak pernah zalim. Tetapi kitalah yang menzalimi diri kita sendiri.
Allah dah bagi macam-macam pada kita, cuma kita yang sombong dan ego tidak mahu berdoa dan berterima kasih pada-Nya. Manusia, apabila seseorang menzaliminya, agak sukar untuk dia merelakan dan membantu saudara itu di masa hadapan. Tapi Allah, Dia lain. Dia tak macam girlfriend engkau. Dia tak sama maca boyfriend engkau. Dia Maha Kuasa, Maha Pengampun, Maha Pengasih, Maha Penyayang.
Sebanyak mana dosa sekalipun hamba-Nya buat, walaupun tiada nikmat ketenangan dek kerana dosa yang dilakukan, tetapi masih peroleh dan merasai rezeki-rezeki dari Allah. Nikmat makan, bernafas, kesihatan, keluarga dan macam-macam lagi. Jika disenaraikan nikmat-nikmat Allah menggunakan dakwat pen sebanyak seluas air di lautan sekalipun, tidak akan pernah habis dan tidak pernah cukup. Tidak terbatas kasih sayang Allah buat kita, yang mana kita ini pendosa. Ya Allah, jangan biarkan kami hidup dalam keadaan kelalaian, kealpaan dan kesombongan diri dari mengingati-Mu, Allahku...
"Ya Allah, jika ada nikmat yang engkau cabut dariku, maka aku redha ya Allah. Sesungguhnya, engkau pasti akan menggantikan dengan nikmat yang lain dan hikmah yang indah. Cuma ya Allah, ada satu nikmat yakni ketenangan mencintaiMu yang mana jika hilang ia, alangkah ruginya aku. Dan itu berlaku atas kezalimanku terhadap diriku sendiri. Terasa sia-sianya hidupku tanpamu, Allahku. Ya Allah, tolong pelihara hatiku dari maksiat dan dosa. Aku hina tanpa-Mu. Aku benar-benar hina tanpa-Mu. "
Teman, mulai hari ini, detik ini, bagi mereka yang masih mencari-cari Allah dalam jiwa, jom usaha...!
Jangan takut untuk melangkah. Allah ada di saat kita memilih untuk mujahadah. Melangkahlah bersama Allah. Sesungguhnya Allah sangat merindui kita semua.
Ayuh akhwat, ayuh akhi, ayuhlah sahabat syurgaku!! Kembalilah kita semua kepada fitrah hidup yang sebenar. Fitrah hidup ingin bertuhan. Allahlah tempat kita semua mengadu yang memahami dan membantu kita. Hanya Allah selayaknya disembah. Tiada tuhan selain-Nya yang Maha Esa dan Maha Perkasa.
Syukran jazilan kullukum atas kesudian antum membaca. Moga hati-hati pembaca semua dan saya sentiasa terpelihara dari segala kemaksiatan, dari segala dosa dan azab.
Saya akhiri dengan sedikit peringatan dari Allah di dalam surah Al-Ahzab, ayat 41-43 yang bermaksud :
"Wahai orang yang beriman! Ingatlah kepada Allah, dengan mengingati (nama-Nya) sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya pada waktu pagi dan petang. Dialah yang memberi rahmat kepadamu dan para malaikat-Nya (memohonkan keampunan untukmu), agar Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan Dia Maha Penyayang kepada orang yang beriman." (Surah Al-Ahzab, ayat 41-43)

No comments:
Post a Comment